PR DAN MEDIA: MENGAPA KEDUA-DUANYA SALING MEMERLUKAN?
Jika diteliti, bidang PR (Public Relations) dan media (kewartawanan) tidak jauh bezanya. Keberkesanan kedua-dua bidang ini untuk menyampaikan mesej tertentu kepada umum adalah untuk mencapai satu matlamat yang sama.
Bidang kewartawanan mahu pun PR bukanlah kerjaya yang mudah. Kedua-duanya memerlukan komitmen tinggi dari segi masa dan pengendalian orang-orang yang perlu dihubungi. Satu persamaan yang cukup jelas di antara kedua-duanya ialah kebolehan menulis serta menaip. Untuk menghasilkan artikel dan siaran akhbar, daya kreativiti yang cukup tinggi diperlukan. Ini termasuklah strategi yang inovatif, kebolehan berimaginasi, serta gabungan unik dan berguna, untuk merealisasikan sebuah mesej positif.
Komponen yang menarik antara PR dan media? Kedua-duanya saling memerlukan. Mengapa? PR mahukan cerita atau artikel berkenaan dengan produk atau perkhidmatan yang mereka wakili disiarkan menerusi akhbar, majalah, saluran TV atau mana-mana platform media yang sedia ada. Media pula senantiasa menghidu dan mendahagakan ‘cerita-cerita’ tertentu untuk diisikan ke dada akhbar, ruangan majalah serta medium yang lain.
Sekiranya pihak media memerlukan info yang lebih lanjut berkenaan dengan sesebuah jenama, produk, mahu pun perkhidmatan oleh syarikat atau jenama tertentu, PR yang efisyen dapat menunaikan permintaan mereka dalam sekelip mata. Malah, kemungkinan besar maklumat terperinci dan eksklusif dapat diperolehi jika kedua-duanya sudah saling mengenali.
Kepentingan pihak media mendapatkan visual berkenaan berita yang disampaikan sudah menjadi tugas PR untuk memastikan visual yang diberikan bukan sahaja yang terbaik. Malah bertepatan dengan kehendak media agar berita atau artikel yang dihasilkan mempunyai nilai tersendiri dan menarik minat pembaca. Boleh dikatakan PR yang professional dan cukup berpengalaman akan memahami kehendak dan konteks sepenuhnnya yang diperlukan oleh media. Tugas PR adalah untuk menyediakan komponen-komponen ini agar kedua-duanya saling berdaya maju.
Erti kata lain, hubungan profesional di antara PR dan media adalah amat bernilai. PR tidak perlu menabur duit kepada pihak media begitu juga sebaliknya, untuk sama-sama ‘bergerak’. Mungkin terdapat sedikit perbezaan di antara kedua-dua bidang ini. Namun, percayalah, kedua-duanya masih relevan dan saling memerlukan untuk sama-sama membangun serta memberikan kredibiliti yang tiada penghujungnya.
Khai
Julai 2016